Siapa Aku?

Thursday, October 16, 2008

Mengenang Ibu

Setelah uzur sejak beberapa lama, ibu saya telah meninggalkan saya pada 13 Oktober yang lalu.
Saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang mengucapkan takziah di sini, YM dan telefon.
InsyaAllah selepas ini saya akan menulis blog semula.

Labels: , ,

Tuesday, April 15, 2008

Suri rumah (housewife) vs Wanita yang Hidupnya Senang-Lenang (Lady of Leisure)

Dulu waktu di sekolah rendah saya memberitahu guru saya mahu menjadi suri rumah (housewife). Namun apabila sudah mencapai alam remaja dan dewasa, saya menukar cita-cita menjadi 'Lady of Leisure' (Wanita yang Hidup Senang-Lenang).

Apa beza di antara kedua ini?

Penghuraian kerja suri rumah adalah seperti yang berikut:
1. Membuat sendiri kerja rumah.
2. Menjaga sendiri anak.
3. Memasak sendiri.
4. Mengurus sendiri hal ehwal rumah tangga (termasuk pembantu, sekolah anak dan sebagainya).

Penghuraian kerja wanita yang hidup senang-lenang pula seperti yang berikut:
1. Mempunyai seorang Pengurus Rumah Tangga (housekeeper) untuk menguruskan segala hal ehwal rumah tangga dari atap ke batu asas dan dari dalam ke luar.
2. Mempunyai pekerja untuk melakukan kerja rumah, menjaga anak, memasak dan sebagainya, yang diuruskan oleh Pengurus Rumah Tangga.

Catatan: Sudah tentu wanita yang hidup senang-lenang tidak seharusnya menyerahkan kerja menguruskan suaminya kepada pengurus tersebut. Ini kerana pengurus tersebut selalunya perempuan, jadi kemungkinan dia bertukar tempat dengan majikannya amat tinggi.

Labels:

Thursday, April 03, 2008

Cita-cita

Cikgu Gan memandang satu persatu wajah anak muridnya yang seramai enam belas orang itu. Apabila pandangannya lewat di wajah Nani, matanya tertancap di wajah anak murid harapannya itu. Nanilah satu-satunya murid dalam kelas itu yang Cikgu Gan gantungkan harapan untuk menjadi bukti kejayaannya sebagai guru di kemudian hari.

"Kamu sudah darjah enam," Cikgu Gan memulakan bicara, "Tahun hadapan kamu semua akan ke sekolah menengah. Jadi saya hendak tanya kamu apa cita-cita kamu seorang lepas seorang supaya saya boleh catatkan dalam borang peribadi kamu."

Nani tersentak apabila namanya dipanggil. "Apa makna cita-cita?" tanya Cikgu Gan.

"Apa kerja kita hendak buat bila kita besar, cikgu," jawab Nani tangkas. Cikgu Gan tersenyum. Anak muridnya yang ini memang jarang tidak dapat menjawab soalan yang diberikan.

"Saya mahu kamu fikirkan apa cita-cita kamu. Beri saya tiga cita-cita setiap seorang."

"Mengapa tiga cikgu? Mana kita boleh jadi tiga sekali gus?" tanya Nani.

Cikgu Gan tersenyum. Nani jarang menerima arahan tanpa mempersoalkannya.

"Saya mahu kamu beri tiga cita-cita. Yang pertama cita-cita utama. Yang kedua, apa kamu mahu jadi, jika kamu tak dapat jadi yang pertama, dan kalau yang kedua pun tak dapat, pilihan kerja yang ketiga," sabar Cikgu Gan menerangkan kepada kelas darjah enam itu.

Nani mengangguk-angguk.

Setelah memberi mereka masa berfikir selama lima minit, Cikgu Gan mula bertanya. Dia mulakan dengan anak murid kesayangannya. Tidak sabar dia mahu tahu apa cita-cita anak muridnya yang pintar ini.

"Nani, kita mulakan dengan kamu. Apa cita-cita kamu yang pertama?"

"Suri rumah cikgu," jawab Nani sambil tersenyum-senyum melirik Ah Kok yang duduk di bangku yang selari dengannya. Ah Kok tersipu-sipu.

Terlopong Cikgu Gan mendengar kata-kata Nani yang tegas dan tidak ragu-ragu itu. "Suri rumah?" ulang Cikgu Gan bagai kata-kata Nani tadi hanya bisikan.

"Ya, cikgu. Saya nak jadi suri rumah tangga," Nani mengesahkan kata-katanya tadi. Wajah Ah Kok sudah mula kemerah-merahan.

"Mengapa kamu hendak jadi suri rumah?" tanya Cikgu Gan.

"Sebab nanti boleh duduk rumah berehat saja cikgu. Tak payah susah-susah pergi kerja," jawab Nani. Ah Kok tunduk memandang mejanya. Darah yang memenuhi saraf di wajahnya sudah menyerbu saraf tengkoknya pula.

Lama Cikgu Gan terdiam mematung memandang Nani. "Baiklah, apa pula cita-cita kamu yang kedua, jika kamu tak dapat jadi suri rumah?" tanyanya.

"Saya nak jadi cikgu. Macam mak dan ayah saya," jawab Nani. Cikgu Gan terduduk di kerusi guru.

"Kalau tak dapat jadi cikgu?" tanya Cikgu Gan dengan wajah yang sedikit pucat.

"Kalau tak dapat jadi cikgu, saya nak jadi akauntan."

Cikgu Gan berteleku di meja dan menyembunyikan wajahnya di sebalik kedua-dua tapak tangannya.

Labels:

Wednesday, April 02, 2008

ADUN baru ADUN lama

Beberapa hari lepas, saya berbual dengan pengerusi pergerakan wanita yang saya salah seorang AJKnya. Oleh sebab aktiviti pergerakan kami banyak mendapat sokongan daripada ADUN kawasan, sudah tentu isu ADUN baru menjadi salah satu topik perbualan.

ADUN kami sebelum PRU ke-12 seorang wanita. Sejak pergerakan kami diaktifkan semula, saya dapat merasakan beza ADUN wanita dengan ADUN lelaki berdasarkan perhatian yang diberikan ADUN kepada pergerakan kami; begitu juga tahap kemudahan bekerjasama. Saya dapat merasakan perbezaannya kerana saya juga menjadi AJK bagi pergerakan ini sebelum ia dibubarkan dahulu.

Saya mendapati ADUN wanita yang lalu itu mudah dirapati dan mudah diperoleh sokongannya terhadap aktiviti kami. Sebelum beliau menjadi ADUN, mantan ADUN sebelum beliau pada pandangan saya, banyak diperguna oleh kaum lelaki pergerakan kami untuk tujuan meningkatkan diri dalam pergerakan.

ADUN baru kami bukan daripada parti yang memerintah. Beliau juga seorang lelaki. Pengerusi memberitahu saya, oleh sebab badan bukan kerajaan kami ini berada di bawah sebuah kementerian, ADUN bukan daripada parti pemerintah tidak boleh dijemput untuk menjadi tetamu kehormat dalam acara-acara kami.

Syarat itu bagi saya tidaklah menjadi mudarat benar kepada kami. Ini kerana mantan ADUN yang wanita itu akan terus menjadi penyokong aktiviti kami. Lagi pula, kami sebenarnya waham dengan apa yang boleh kami peroleh dari segi kepimpinan ADUN baru ini. Kemenangan beliau juga bagi kami adalah disebabkan protes masyarakat dalam kawasan ini kerana mantan ADUN tidak dicalonkan semula.

Apa yang menarik bagi saya tentang ADUN baru ini adalah, saya ingin melihat bagaimana beliau akan menyusup ke dalam pergerakan kami dan berjaya menonjolkan bahawa pemilihan beliau adalah tepat, serta parti dan mungkin juga beliau, wajar dipilih waktu PRU ke-13 nanti.

Sudah tentu itu bukan perkara yang mudah. Beliau akan menghadapi banyak halangan dan kekangan untuk bersama kami. Saya ada beberapa idea yang beliau boleh cuba untuk mendekati kami, namun tidak payahlah saya tuliskan. Pertama, biarlah beliau sendiri berfikir bagaimana caranya dan juga saya amat pasti beliau bukan pembaca blog saya.

Saya juga ingin melihat sama ada beliau akan memberikan alasan demi alasan mengapa beliau tidak dapat menjadi sebahagian daripada kami. Bagi saya, jika beliau asyik memberikan alasan, itu menunjukkan parti beliau memang tidak mampu menunaikan janji mereka. Saya tidak mahu jika bukti yang ditunjukkan kepada saya adalah bukti yang menunjukkan kejayaan mereka di tempat lain. Tempat itu, kata saya kepada Pengerusi, tidak sama sikap, gabungan bangsa dan mentaliti masyarakatnya, dengan tempat kami.

Satu lagi isu yang saya mahu perhatikan adalah, apakah beliau akan memberikan perhatian kepada aktiviti kami, yang wanita ini. Parti beliau setakat ini tidak terkenal dalam kalangan kami dan kami juga tidak jumpa mana-mana ahli parti itu yang wanita yang boleh kami rujuk apa aktiviti yang disokong oleh parti untuk untuk wanitanya.

Kita tunggu dan lihat.

Labels:

Monday, March 31, 2008

Pejabat di rumah - 2

WARNA

Warna memainkan peranan penting dalam hiasan.

Warna juga memainkan peranan sebagai pencetus rasa yang bersesuaian untuk bekerja.

Warna yang tidak sesuai dengan diri penghuni bilik membuatkan dia merasa tidak selesa dan tidak dapat bekerja dengan baik.

Warna kesukaan jika tidak sesuai untuk pejabat juga akan melumpuhkan.

Warna apa yang patut saya pilih? Ini persoalan yang bermain-main di minda sejak beberapa lama.

Akhirnya saya mencatatkan warna-warna kegemaran saya dan juga yang membuatkan saya merasa selesa. Sudah tentu warna dinding bilik menjadi tumpuan utama saya.

Saya tahu warna yang garang dan gelap tidak sesuai dengan jiwa saya. Yang terlalu terang dan menonjol membuatkan saya merasa tidak selesa. Saya perlu mengecat dinding dengan warna yang lembut.

Warna apa?

Pemilihan warna masih memeningkan kepala saya. Lalu saya telah membaca beberapa buku dan juga merayau-rayau di alam siber mencari petua untuk memilih warna yang sesuai untuk sebuah pejabat.

Sebelum menentukan warna pilihan, saya mendapati kita perlu menentukan apa tujuan kita membina pejabat di rumah. Adakah sebagai ruang untuk membaca dan menggunakan komputer sebagai aktiviti santai? Atau sebagai tempat berkumpul dan berbincang dengan keluarga? Atau, seperti saya, tempat untuk mencari rezeki?

Bilangan pengguna juga menentukan apa warna yang hendak digunakan. Jangan pula si ayah ingin warna biru (biru dikatakan warna maskulin dan disukai lelaki) si ibu warna hijau sesuai dengan sifatnya yang penuh kasih sayang, si dara ingin warna merah jambu, dan si ujang warna hitam. Aduhai, mungkin bilik pejabat akan menjadi ruang pameran cat pula!

Bagi saya sendiri, pilihan warna hanya perlu memenuhi citarasa saya. Namun saya masih tidak dapat membuat pilihan!

Saya suka warna biru lembut. Warna biru dikatakan berkaitan dengan tenaga air. Ia membuatkan jantung berdenyut perlahan, nafas tenang dan menurunkan tekanan darah. Selain itu, ia membantu kita menumpukan fikiran, merenung, menimbangkan dengan wajar dan bagus untuk kerja-kerja kreatif.

Jika banyak sangat menggunakan warna biru, kita akan menjadi, antaranya, angkuh, suka berkelahi dan hanya mahu menang sendiri.

Sifat warna biru yang menyebabkan diri menjadi tenang (malas) tidak sesuai pada pandangan saya untuk menjadi warna utama pejabat saya. Lagipun saya sudah menetapkan warna biru untuk dapur. Mahu tahu kenapa? Warna biru menyebabkan selera makan kita berkurangan. Jadi bagus untuk menjaga berat badan.

Warna merah samar atau merah jambu juga cantik. Saya ada juga terfikir hendak menggunakan warna ini. Namun saya tidak boleh berada lama dalam limpahan warna ini. Ia menimbulkan rasa tidak selesa.

Jadi warna apa yang harus saya pilih?

Hijau?

Ungu?

Aduh!

Pening!

Labels: ,

Friday, March 28, 2008

Pejabat di rumah - 1

Apa jua kerja untuk mencari pendapatan memerlukan pejabat. Sama ada pejabat yang disediakan oleh majikan atau, jika bekerja sendiri seperti saya, yang disediakan sendiri.

Saya sedang merancang membuat pejabat yang lengkap dan tetap tempatnya di rumah. Sebelum ini pejabat saya beralih-alih dari satu bilik ke bilik lain. Saya sudah menetapkan bilik untuk dijadikan pejabat. Dalam hal menentukan tempat, saya beruntung kerana saya ada bilik kosong yang boleh dikhaskan sebagai pejabat.

Berpejabat di rumah, jika tidak kena tempatnya akan membantutkan produktiviti. Ada yang membuat pejabat di dalam bilik tidur. Ada yang di ruang tamu dan ada yang di ruang santai di bahagian atas rumah.

Rumah saya tidak punya ruang santai itu. Yang ada cuma ruang yang amat kecil di sebelah lepar tangga. Sudah tentu tidak sesuai bagi saya yang memerlukan meja yang besar untuk bekerja. Jika ada pun, saya tidak akan membuat pejabat saya di situ kerana di situ banyak gangguan, begitu juga di tempat-tempat yang saya nyatakan tadi.

Sebagai penterjemah, suatu kerja yang perlukan tumpuan fikiran, tempat yang banyak gangguan tidak sesuai. Benar, di rumah saya tiada yang mengganggu, namun jika ada tetamu, kerja saya yang rata-rata bersifat sulit (orang yang tidak berkenaan tidak boleh membaca teks yang saya terjemahkan - itu salah satu etika penterjemah) tidak dapat dijaga dengan baik.

Labels: ,

Thursday, March 27, 2008

Blog Postings - Once A Month?

Looks like I could only write once a month.

That is not good, not good at all.

Will try to change that...

Labels:

© Siti 2006